Monday 28 October 2013

Kenyataan Media oleh Sukarelawan "Impian Sarawak", terhadap kenyataan Menteri Muda Kesihatan Awam (ADUN Bengoh)

Pada 9 Oktober 2013, Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil telah mengutuk usaha DAP Sarawak membina projek bekalan air paip graviti di Kampung Sait, Muk Ayun Bengoh atas sebab ia akan menyebabkan penduduk terbabit teruk terpinggir daripada arus pembangunan.
 

Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh salah seorang sukarelawan projek Impian Sarawak yang bertujuan membalas Dr Jerip.





---------

Kenyataan Media oleh Sukarelawan "Impian Sarawak", Kwang Cheng Yee terhadap kenyataan Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bengoh Datuk Dr Jerip Susil yang telah memperlekehkan Projek Paip Air Graviti dan penduduk-penduduk Kampung Sait-Muk Ayun, Sarawak

--

Merujuk kepada artikel dalam Borneo Post pada 10 haribulan Oktober 2013 (http://www.theborneopost.com/2013/10/10/projek-paip-graviti-dap-pinggirkan-penduduk/#ixzz2hKkxesyi), saya sebagai salah satu daripada sukarelawan Impian Sarawak yang terlibat dalam projek paip graviti di Kampung Sait – Muk Ayun kira-kira seminggu yang lalu mempunyai beberapa soalan yang ingin saya acukan kepada Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Datuk Dr Jerip Susil.

Pertama sekali, pernah kah Datuk Dr Jerip melawat Kampung Sait – Muk Ayun ataupun kawasan di sekitarnya? Bukan secara menaiki helikopter, tetapi secara berjalan kaki dan mendaki bukit-bukau yang mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai di Kampung Sait.

Jikalau Datuk Dr Jerip pernah berbuat sedemikian, pastinya beliau memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di Kampung Sait.

Secara berterus-terang, saya berasa amat kecewa disebabkan pernyataan beliau bahawa penduduk-penduduk kampung enggan berpindah dari kawasan Kampung Sait disebabkan projek paip graviti ini. Datuk Dr Jerip, yang dirinya juga merupakan orang tempatan di Malaysia Timur, telah mendakwa bahawa pihak DAP mengambil kesempatan ke atas orang kampung dan bahawa orang Cina yang memasuki kawasan luar Bandar tidak memahami budaya, cara hidup, keperluan serta masalah di situ.

Saya bertanyakan suatu soalan lagi: Apakah pihak DAP akan mencapai keputusan bersama penduduk-penduduk Kampung Sait untuk membina paip graviti di kampung tersebut jikalau terdapat kemudahan bekalan air di situ? Perlu kah kami berbuat sedemikian sekiranya pihak kerajaan faham akan keperluan serta masalah penduduk luar Bandar sepertimana yang diulaskan oleh beliau? Perlu kah penduduk-penduduk Kampung Sait hidup dalam kesusahan sekiranya BN bersikap prihatin terhadap keperluan asas mereka?

Tambahan pula, penduduk-penduduk Kampung Sait merupakan orang asal dan juga bumiputera. Sekiranya Barisan Nasional memahami cara hidup mereka, tentunya mereka tahu bahawa orang asal bergantung kepada tanah mereka untuk bercucuk tanam dan menternak binatang. Saya tidak menafikan bahawa ada yang ingin berpindah ke kawasan bandar untuk mencari nafkah dan menerima proses modenisasi. Tetapi kebanyakan orang kampung yang telah kita menemu ramah menyatakan hasrat mereka untuk terus menetap di kawasan kampung mereka.

Penduduk-penduduk Kampung Sait ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mengapa harus kita mendesak orang kampung ini untuk berpindah ke kawasan bandar? Mampukah mereka menanggung kos sara hidup moden? Yang penduduk kampung inginkan bukan lah untuk hidup di bandar mahupun menetap dalam rumah batu, tetapi supaya mereka dapat hidup secara aman tanpa kacauan pihak-pihak lain di tanah yang dimiliki oleh mereka.

Saya memulangkan tiga cabaran kepada pihak Barisan Nasional untuk memberi keperluan asas seperti berikut:
1. Menyediakan bekalan air dan elektrik yang stabil;
2. Memudahkan pendidikan untuk kanak-kanak; dan
3. Memastikan bahawa kesihatan penduduk kampung diambil kira, i.e. menghantar doktor dan bekalan ubat ke kawasan kampung secara lebih kerap

Permintaan-permintaan di atas bukanlah sesuatu yang sukar bagi pihak Barisan Nasional sekiranya mereka ikhlas untuk membantu orang kampung yang semakin dipinggirkan ini.

Ketika kami berada di Kampung Sait dalam tempoh masa seminggu itu, kami telah mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk di situ. Betapa berat hatinya kami semasa terpaksa meninggalkan Kampung Sait selepas penamatan projek paip graviti ini. Kami sebagai sukarelawan amat bangga dan berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan penduduk-penduduk Kampung Sait yang merupakan insipirasi besar kepada kami semua. Kami juga tidak akan teragak-agak untuk pulang ke situ untuk menjenguk mereka dalam masa depan nanti dan kami juga tahu bahawa penduduk Kampung Sait akan mengalu-alukan kami dengan tangan terbuka.

Justeru itu, terpulang lah kepada Datuk Dr Jerip mahupun pihak Barisan Nasional untuk melemparkan dakwaan bahawa projek Impian Sarawak ini bersifat politik. Sesiapa sahaja boleh mengecil-ngecilkan usaha parti DAP mahupun pihak sukarelawan yang telah bertungkus-lumus dan berganding bahu bersama penduduk-penduduk Kampung Sait untuk menjayakan projek paip graviti ini.

Tetapi saya ingin meminta supaya sekurang-kurangnya beliau menghormati maruah penduduk-penduduk di situ serta kehendak mereka untuk menetap di tanah yang sememangnya milik mereka.

No comments:

Post a Comment